SAYA ADALAH PENGEDAR SAH SHAKLEE (888236) NURHASANAH CHE MAT KAWASAN PUTRAJAYA, CYBERJAYA, DENGKIL, BANTING, NILAI DAN BBST

Thursday 18 September 2014

TEKNIK POWER PUMPING

                Terdapat pelbagai kaedah dalam membantu diri untuk memperbanyakkan kembali susu ibu. Salah satu kaedahnya adalah melalui power pumping.
                Kaedah ini merupakan teknik mengepam yang sangat berkesan membantu anda meingkatkan penghasilan susu. Caranya mudah. Hanya pam dan masa selama satu jam diperuntukkan untuk menjayakan misi ini.
                Teknik ini melibatkan rutin mengepam sepertia yang biasa anda lakukan setiap hari. Namun ia dijalankan dalam cara yang lebih unik berbanding cara biasa. Idea asal kaedah ini adalah untuk meniru corak bayi menyusu yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pengeluaran susu ibu.
                Dalam usaha menambah kuantiti susu perahan yang mahu disimpan untuk kegunaan bayi sepanjang bekerja, anda digalakkan untuk melakukan teknik power pumping ini sekerap yang mungkin. Sekali sehari pun memadai sekiranya anda terlalu sibuk dengan tugasan harian. Jika mempunyai banyak masa terluang, anda boleh melakukan lebih daripada sekali dalam tempoh 24 jam. Namun begitu, anda sangat digalakkan untuk menyusukan bayi anda mengikut keperluan.
                Waktu yang paling sesuai untuk melakukan power pumping adalah di tengah malam. Ini kerana pengeluaran hormon prolaktik yang merangsang pengeluaran susu sangat tinggi pada waktu ini. Namun begitu, tidak semestinya anda perlu melakukan pumping hanya pada waktu ini. Ia terpulang pada keselesaan anda.
                Dalam pada itu, perlu diingat walaupun pada peringkat awal proses PP ini pengeluaran susu mungkin sedikit, anda dinasihatkan untuk terus melakukannya. Lazimnya kesan kaedah ini akan mula kelihatan selepas satu hingga dua minggu.
                Tidak dinafikan ramai juga yang mengalah sebelum berjuang. Ada yang berpendapat ia agak leceh dan memakan terlalu banyak masa. Jangan begitu! Percayalah usaha yang diiringi kesungguhan dan kesabaran secara berterusan akan menjadi tonggak kejayaan tidak terbanding nilainya.

TIPS ASAS BANYAKKAN SUSU IBU
1. Pam atau susukan bayi setiap dua ke tiga jam
Susu ibu terhasil berdasarkan konsep penawaran dan permintaan. Oleh itu, semakin kerap diminta, lebih banyak susu dapat dihasilkan. Ada andaian menyatakan susu akan kering apabila bayi menyusu terlalu kerap atau mengepam terlalu kerap. Ia adalah andaian yang tidak benar. Yang sebetulnya lebih kerap bayi menyusu atau anda mengepam payu dara, ia merangsang otak dan tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu bagi memastikan keperluan bayi dapat dipenuhi dengan baik.

2. Usah tunggu sehingga penuh
Bagi yang bekerja, buangkan persepsi bahawa anda hanya boleh mengepam susu apabila payu dara mula terasa penuh. Salah tanggapan sebegitu! Anda harus didik diri untuk menghasilkan susu pada suatu tempoh tertentu. Oleh sebab itu, anda digalakkan untuk mengepam ketika di tempat kerja setiap dua ke tiga jam. Lakukannya secara tetap. Dengan yang demikian, otak dan tubuh sudah terbiasa dengan rutin ini dan akan berterusan menghasilkan susu untuk keperluan bayi.

3. Tandem Pumping
Hal ini dapat anda lakukan dengan mengepam sebelah payu dara sambil menyusukan anak. Langkah ini dapat memaksimumkan penghasilan susu. Apabila susu dihasilkan pada sebelah kanan, secara automatiknya payu dara sebelah kiri turut menghasilkan susu apabila amalan tandem pumping ini diamalkan.

4. Kebaikan menyusu malam
Penyusuan yang kerap di waktu malam terutamanya di awal pagi adalah baik kerana ketika ini hormon prolaktin banyak dihasilkan. Tambahan pula ketika ini , diri anda berada dalam keadaan tenang. Jadi, ia membantu anda melancarkan proses penghasilan susu.

5. Minum air mencukupi
Adalah penting untuk anda memastikan tubuh mendapat bekalan cecair yang mencukupi setiap hari. Bagi ibu yang menyusu, anda disarankan minum sekurang-kurangnya tiga liter air setiap hari.

TEKNIK POWER PUMPING
1. Pam Tunggal
Pam payu dara kanan terlebih dahulu selama 10 minit. Kemudian beralih ke payu dara sebelah kiri pula untuk tempoh 10 minit. Tukar semula ke payu dara kanan selama 10 minit dan seterusnya payu dara kiri. Ulang langkah ini berterusan selama satu jam.

2. Pam Berganda

Pam kedua-dua belah payudara serentak selama 10 minit. Kemudian rehat 10 minit dan sambung kembali mengepam untuk 10 minit. Ulang langkah ini sehingga cukup tempoh selama satu jam.